Ahad, 2 Jun 2019 | 10:12pm
CHARLOTTE Casiraghi dan Dimitri Rassam.
CHARLOTTE Casiraghi dan Dimitri Rassam.

Anak perempuan Puteri Caroline kahwini penerbit filem Perancis

MARSEILLE (PERANCIS): Anak perempuan kepada Puteri Caroline dari Monaco, Charlotte Casiraghi melangsungkan perkahwinan dengan penerbit filem Perancis yang juga bapa kepada anak lelakinya, lapor akaun Facebook keluarga Diraja itu.

Menurut akaun berkenaan, Charlotte, 32 mengahwini Dimitri Rassam pagi semalam dalam satu upacara di Istana Monaco.

Ia diikuti dengan majlis resepsi di villa mewah La Vigie di Roquebrune iaitu antara kediaman milik pereka fesyen terkenal, mendiang Karl Lagerfeld.

Rumah fesyen Saint Laurent dalam satu kenyataan tidak lama kemudian berkata, Charlotte mengenakan jubah berenda ‘guipure’ dengan riben bersulam besar hasil rekaan Anthody Vaccarelle dan sandal satin.

Satu lagi foto di Facebook memaparkan beliau mengenakan gaun petang kembang dengan dandanan rambut era 1950-an, persis gaya neneknya, bekas aktres terkenal Hollywood, Grace Kelly.

Rassam, 37 adalah anak lelaki kepada aktres Perancis, Carole Bouquet dan penerbit filem, Jean-Pierre Rassam yang meninggal dunia pada tahun 1985.

Beliau turut terbabit sebagai penerbit bersama versi animasi ‘The Little Prince’ yang dihasilkan berdasarkan karya kanak-kanak Antoine de Saint Exupery.

Filem terbitan 2015 itu mendapat sambutan meluas seluruh dunia dan tampil sebagai filem animasi Perancis yang mengaut keuntungan paling tinggi setakat ini.

Selain anak lelaki bersama Rassam, Casiraghi turut memiliki zuriat bersama pelakon komedi dan aktor Perancis, Gad Elmalah yang dilahirkan pada tahun 2013.

Wanita jelita itu adalah cucu kepada pasangan mendiang Putera Rainier III dan mendiang Puteri Grace yang perkahwinan ala kisah dongeng mereka pada tahun 1956 menukarkan Monaco sebagai lokasi kediaman individu ternama dunia.

Bapa saudaranya, Albert II ialah pemerintah Monaco ketika ini manakala ibunya, Puteri Caroline adalah pewaris kedua takhta. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X