Selasa, 18 Jun 2019 | 1:38pm
Enam calon PM Britain berdepan pusingan kedua penyingkiran hari ini sebelum dua calon akhir dipilih pada hujung minggu. -Foto Agensi
Enam calon PM Britain berdepan pusingan kedua penyingkiran hari ini sebelum dua calon akhir dipilih pada hujung minggu. -Foto Agensi

6 calon PM Britain masuki pusingan kedua penyingkiran

LONDON: Enam calon Konservatif yang berhasrat menjadi Perdana Menteri Britain berdepan pusingan kedua penyingkiran hari ini, dengan dua calon akhir akan diputuskan hujung minggu ini.

Kesemua 313 anggota Parlimen (MP) parti akan mengambil bahagian dalam undian rahsia dalam perlumbaan menggantikan Theresa May, dengan pusingan lanjut dijadualkan mengecilkan senarai kepada hanya dua, dilakukan anggota akar umbi berjumlah 160,000 orang.

Bekas Setiausaha Luar Boris Johnson yang juga jurukempen utama Brexit, mendahului dalam pusingan pertama undian minggu lalu, memenangi sokongan daripada 114 MP, lebih dua kali ganda jumlah undian dimenangi pencabar terdekatnya.

Hasil perlumbaan kepimpinan itu dapat mengenal pasti syarat yang membawa Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU) ketika ini dijadualkan 31 Oktober.

Johnson berkata, beliau bersedia meninggalkan EU pada tarikh itu tanpa perjanjian rasmi antara London dan Brussels namun bersedia mengikat satu perjanjian sebelum tarikh akhir.

Pembangkang yang menentang tanpa perjanjian berkata, ia akan mencetuskan huru-hara ekonomi ketika Britain berpecah dengan rakan dagang utama.

Mana-mana calon gagal memenangi sokongan sekurang-kurangnya 33 MP hari ini akan disingkirkan.

Keputusan akan diumumkan sekitar jam 6 petang waktu tempatan. Dua jam kemudian, calon yang melepasi syarat akan mengadakan debat disiarkan BBC susulan kemunculan pertama televisyen Ahad lalu dilangkau Johnson.

Satu lagi pusingan dijadualkan esok dan dua lagi Khamis, jika diperlukan untuk mendapatkan dua calon akhir. Anggota parti akan memilih pemenang menerusi undian pos dan mengumumkannya pada minggu itu bermula 22 Julai.

Setiausaha Luar Jeremy Hunt berada di tempat kedua dalam undian minggu lalu dengan 43 undi diikuti Setiausaha Alam Sekitar, Michael Gove (37), penyokong Brexit, Dominic Raab (27), Setiausaha Dalam Negeri Sajid Javid (23) dan Setiausaha Pembangunan Antarabangsa, Rory Stewart (19). -AFP

Berita Harian X