X
Khamis, 20 Jun 2019 | 12:15pm
THERESA May dan ketua pembangkang Parti Buruh British, Jeremy Corbyn di Dewan Rakyat di London tengah, Britain. - Foto EPA
THERESA May dan ketua pembangkang Parti Buruh British, Jeremy Corbyn di Dewan Rakyat di London tengah, Britain. - Foto EPA

Konservatif undi dua calon akhir ganti Theresa May

LONDON: Ahli parlimen Konservatif hari ini akan menentukan siapakah yang bakal menyertai Boris Johnson sebagai dua calon akhir bersaing merebut jawatan Perdana Menteri Britain seterusnya.

Nasib Setiausaha Luar Negara, Jeremy Hunt, Setiausaha Alam Sekitar, Michael Gove dan Menteri Dalam Negeri, Sajid Javid itu bakal ditentukan 160,000 kertas undian ahli Parti Konservatif.

Dua calon terakhir yang dipilih akan melalui 16 sesi kempen di seluruh negara dan dua sesi debat di televisyen sebelum ahli parti menghantar undi pos mereka bagi memilih pemimpin baharu.

Pemenang akan diumumkan pada 22 Julai ini sebelum mengambil alih jawatan Theresa May sebagai perdana menteri.

Undian penyingkiran ketiga semalam menyaksikan, bekas setiausaha luar negara, Johnson berada di tempat pertama dengan 143 undi mendahului Hunt dengan 54 undi, Gove (51) dan Javid (38). Menteri Pembangunan Antarabangsa, Rory Stewart tersingkir dengan 27 undi.

Undian penyingkiran keempat hari ini berlangsung pada jam 10 pagi hingga 12 tengah hari (waktu tempatan) dan keputusannya akan diumumkan satu jam kemudian.

Jika tiada calon menarik diri dan masih kekal dengan tiga pesaing, Ahli Parlimen dijadual untuk mengundi semula di antara jam 3.30 petang dan 5.30 petang (waktu tempatan). - AFP

Berita Harian X