Isnin, 24 Jun 2019 | 5:38pm
Jeremy Hunt. - Foto Reuters
Jeremy Hunt. - Foto Reuters

Boris Johnson 'pengecut', elak debat isu Brexit - Jeremy Hunt

LONDON: Pencabar utama Boris Johnson, Jeremy Hunt yang turut merebut jawatan Perdana Menteri, Theresa May, berkata Johnson adalah seorang ‘pengecut’ kerana enggan berdebat mengenai isu Brexit.

Setiausaha Luar Negara itu berkata, tindakan Johnson yang enggan keluar berdebat secara terbuka adalah sifat seorang pengecut.

Hunt, 52, mendakwa Johnson tidak menghormati dirinya selepas menolak peluang berdebat secara terbuka di saluran televisyen Sky.

“Orang ramai ingin tahu apa yang akan anda lakukan dan anda perlu menjawab soalan itu,” kata Hunt.

Johnson, 55 adalah calon pilihan bagi meraih undi 160,000 anggota Parti Konservatif yang akan menentukan bakal perdana menteri seterusnya.

Undi tinjauan semasa meletakkan 79 peratus kebarangkalian untuk Johnson memenangi jawatan itu, berbanding 92 peratus minggu lalu.

Beliau menyifatkan dirinya sebagai satu-satunya calon yang bakal menjayakan Brexit pada 31 Oktober, dengan atau tanpa perjanjian.

Jumaat lalu, polis dikerah ke rumah Johnson selepas jiran terdengar bunyi perbalahan yang kuat di antara beliau dan teman wanitanya, Carrie Symonds.

The Guardian melaporkan, seorang jiran yang tidak dikenali terdengar Symonds menjerit diikuti bunyi hentakan yang kuat.

Pada satu ketika, Symonds didengar menjerit ‘lepaskan saya’ dan ‘keluar dari flat saya.”

Johnson enggan menjawab soalan mengenai kejadian itu ketika berkempen di Birmingham Sabtu lalu. - Reuters

Berita Harian X