Ahad, 14 Julai 2019 | 7:47am
KEJADIAN korban bot karam di pesisir laut Tunisia. - Foto REUTERS

Korban bot pendatang karam di Tunisia cecah 82 orang

TUNIS: Angka korban bot pendatang yang karam di pesisir laut Tunisia minggu lalu meningkat kepada 82 orang, kata Persatuan Bulan Sabit Merah Tunisia semalam.

Bot berkenaan karam ketika dalam perjalanan ke Eropah dari Libya. Difahamkan bot berkenaan membawa 86 orang.

Nelayan Tunisia turut berjaya menyelamatkan empat pendatang tetapi seorang daripadanya meninggal dunia di hospital, kata Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) minggu lalu.

“Selepas seminggu operasi dijalankan, semua 82 mayat mangsa bot yang karam minggu lalu berjaya ditemui,” kata pegawai Persatuan Sabit Merah Tunisia, Mongi Slim.

Pantai barat Libya menjadi pusat pelepasan utama pendatang Afrika yang mahu ke Eropah. Namun angkanya berkurangan hasil operasi diketuai Itali dalam membanteras rangkaian penyeludupan sekali gus menyokong pasukan pengawal pantai Libya.

Mei lalu, 65 pendatang yang menuju ke Eropah dari Libya lemas selepas bot yang mereka naiki karam di Tunisia. - Reuters

Berita Harian X