Rabu, 17 Julai 2019 | 11:34am
Sebuah kapal tangki melalui Selat Hormuz. - Foto REUTERS
Sebuah kapal tangki melalui Selat Hormuz. - Foto REUTERS

AS syak Iran tawan kapal tangki minyak Panama

LONDON: Amerika Syarikat (AS) mendakwa Iran menawan sebuah kapal tangki minyak yang hanyut ke perairan Iran ketika melalui Selat Hormuz.

Data pengesan kapal menunjukkan kapal tangki minyak dari Panama, Riah yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) berhenti menghantar isyarat kedudukannya sejak Sabtu lalu.

Insiden itu adalah yang terbaru membabitkan sektor perkapalan di rantau terbabit di mana ketegangan antara Iran dan AS memuncak sejak kebelakangan ini.

Iran dituduh meletakkan bom di beberapa kapal tangki apabila Washington mengetatkan tekanan ekonomi dan ketenteraan ke atas rejim itu susulan program nuklear dan dasar luar negara yang agresif di rantau itu.

Iran turut mengancam untuk bertindak balas selepas tentera British membantu menawan sebuah kapal tangki Iran berhampiran Gibraltar ketika cuba menghantar minyak ke Syria.

Jurucakap firma pengesan data, Refinitiv, Kapten Ranjith Raja berkata, kapal tangki berkenaan tidak pernah menutup sistem pengesannya sepanjang tiga bulan belayar di sekitar UAE.

“Ada sesuatu yang berlaku kepada kapal itu,” katanya.

Penguat kuasa UAE memberitahu Al Arabiya, kapal tangki minyak itu bukan dimiliki atau dikendalikan oleh UAE dan tidak menghantar sebarang panggilan kecemasan.

“Kami sedang memantau keadaan semasa dengan rakan antarabangsa kami,” kata pegawai.

Pemilik berdaftar kapal berkenaan, Prime Tankers LLC yang berpangkalan di Dubai berkata, kapal itu sudah dijual kepada syarikat lain.

Sementara itu, pihak berkuasa Iran gagal dihubungi untuk mengulas lanjut perkembangan berkaitan kapal tangki berkenaan. - Agensi

Berita Harian X