Rabu, 17 Julai 2019 | 8:15pm
Canselor Jerman, Angela Merkel. - Foto AFP

Jerman wajibkan vaksin campak mulai Mac 2020

BERLIN: Jerman akan mewajibkan pengambilan vaksin campak ke atas kanak-kanak bermula Mac 2020 sebagai usaha menghapuskan wabak berbahaya itu, kata kabinet Canselor, Angela Merkel hari ini.

Menerusi peraturan itu, kanak-kanak hanya dibenarkan mendaftar di tadika atau sekolah selepas menerima suntikan berkenaan malah ia juga akan diwajibkan ke atas semua petugas pusat jagaan harian, institusi pendidikan dan pusat perlindungan pelarian.

“Kami mahu melindungi seberapa banyak kanak-kanak yang boleh daripada jangkitan campak,” kata Menteri Kesihatan, Jens Spahn yang mensasarkan untuk memberi sekurang-kurangnya 95 peratus perlindungan.

Rang undang-undang dijangka diluluskan dengan mudah oleh dewan rakyat Bundestag itu turut mengenakan hukuman denda sehingga 2,500 euro (RM11,545) ke atas mana-mana individu melanggar peraturan berkenaan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa usaha di peringkat global untuk meningkatkan perlindungan imunisasi ke atas penyakit berbahaya tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

Tahun lalu, 350,000 kes campak dilaporkan di seluruh dunia, iaitu dua kali ganda lebih tinggi berbanding 2017.

Menurut WHO, perangkaan itu meningkat sebanyak empat kali ganda untuk suku tahun pertama 2019 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jerman merekodkan 543 kes campak tahun lalu dan beberapa ratus lagi tahun ini.

Penyebaran semula wabak campak di beberapa negara dikatakan berpunca daripada kewujudan golongan anti vaksin, dengan sebahagian besar berpegang kepada penerbitan pada 1988 yang mengaitkan vaksin campak dengan autism. - AFP

Berita Harian X