Ahad, 21 Julai 2019 | 7:36am
 Kapal tangki minyak Stena Impero yang ditahan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran di Selat Hormuz. Foto AFP
Kapal tangki minyak Stena Impero yang ditahan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran di Selat Hormuz. Foto AFP

Britain desak Iran bebas kapal tangki

LONDON: Britain mendesak Iran supaya tidak meningkatkan ketegangan di Teluk, dengan membebaskan kapal tangki yang mengibarkan bendera negara itu, yang didakwa ditahan secara tidak sah di perairan Oman.

Terdahulu, Tehran menolak permintaan beberapa negara Eropah, yang mahu mereka membebaskan kapal tangki minyak dan sebahagian besar anak kapal warga India yang ditahan.

Permintaan itu dibuat ketika Amerika Syarikat sedang bersiap sedia untuk menempatkan lebih banyak tentera di Arab Saudi.

Iran berkata Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menahan kapal Stena Impero pada Jumaat lalu, selepas ia didapati melanggar peraturan maritim antarabangsa ketika berada di Selat Hormuz.

Pihak berkuasa Iran berkata, kapal tangki itu dibawa ke pelabuhan Bandar Abbas selepas didakwa gagal bertindak balas terhadap panggilan kecemasan dan menutup transpondernya, selepas berlanggar dengan sebuah kapal nelayan.

Penahanan itu dibuat selepas mahkamah di Gibraltar mengeluar arahan menyambung tempoh tahanan kapal tangki milik Iran, Grace 1, yang ditahan oleh pihak berkuasa Britain di Mediterranean dua minggu lalu, atas tuduhan melanggar sekatan Kesatuan Eropah terhadap Syria. - AFP

Berita Harian X