Rabu, 21 Ogos 2019 | 6:13pm
Pada 1900, lebih 100,000 harimau dianggarkan hidup di muka bumi ini namun angka itu menurun ke paras terendah 3,200 di peringkat global pada 2010. -Foto Agensi

Lebih 2,300 harimau dibunuh, didagang abad ini - Laporan

GENEVA: Lebih 2,300 harimau terancam dibunuh dan didagang secara haram sejak awal abad ini, menurut laporan diterbitkan semalam, menggesa lebih banyak tindakan dibuat bagi melindungi kucing gergasi itu.

Dengan purata lebih 120 harimau yang didagang secara haram disita setiap tahun, bersamaan dua ekor bagi setiap minggu sejak tahun 2000, kumpulan pemuliharaan Traffic memberi amaran, hanya sedikit jeda masa untuk spesies itu.

Penulis laporan, Kanitha Krishnasamy, yang mengetuai operasi Traffic Asia Tenggara berkata, jumlahnya amat membimbangkan.

“Kelihatan kita semakin kalah dalam perjuangan ini,” katanya.

Pada 1900, lebih 100,000 harimau dianggarkan hidup di muka bumi ini namun angka itu menurun ke paras terendah 3,200 di peringkat global pada 2010.

Sejak itu, jumlah populasinya meningkat sedikit namun dianggarkan kurang 3,900 harimau hidup di hutan belantara.

“Pemerdagangan merosakkan ini, dibuktikan dengan jumlah tinggi rampasan kulit, seluruh haiwan, sama ada hidup atau mati serta tulang, menunjukkan permintaan berterusan untuk anggota tubuh harimau.

“Masa untuk bercakap sudah berakhir, perkataan perlu ditukar kepada tindakan untuk menghalang kepupusan harimau,” kata Kanitha dalam satu kenyataan.

Traffic, sering berkempen melindungi haiwan terancam dan membantu kerajaan menangkap individu yang terbabit dalam memperdagangkan anggotanya, menerbitkan satu analisis baharu meneliti data sitaan anggota tubuh harimau selama 19 tahun dari seluruh dunia.

Ia mendapati, 2,359 harimau individu disita bermula pada 2000 hingga 2018 di 32 negara dan wilayah.

Kulit adalah bahagian paling banyak dirampas, dengan purata 58 dirampas setiap tahun, menurut laporan, juga menunjukkan peningkatan jelas sitaan keseluruhan haiwan, sama ada hidup atau mati. -AFP

Berita Harian X