Rabu, 4 September 2019 | 8:32am
ANTARA dadah jenis heroin yang dirampas dalam satu serbuan di pelabuhan Felixstowe, pada 30 Ogos lalu.

Pihak berkuasa Britain cipta rekod rampasan terbesar heroin

LONDON : Satu operasi antarabangsa menghasilkan rampasan terbesar heroin di Britain, kata Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) hari ini, dengan penemuan hampir 1.3 tan dadah itu dari sebuah kapal kontena.

Menurut NCA, pihak berkuasa menyerbu MV Gibraltar selepas di berlabuh di pelabuhan Felixstowe, selatan England pada 30 Ogos lalu.

Polis Britain mendapati bahawa heroin itu dengan nilai pasaran kira-kira 120 juta pound (RM611 juta) akan berada di dalam kapal berkenaan sebaik ia berlabuh sebelum meneruskan perjalanan ke Antwerp.

Timbalan Pengarah Pasukan Sempadan, Jenny Sharp berkata, penyeludup menyembunyikan dadah itu di dalam timbunan tuala dan turut menjahit 1 kilogram blok heroin di dalam sebahagian tuala berkenaan.

“Pegawai saya mengambil masa hampir enam jam pada awal pagi Sabtu untuk mengeluarkan kesemua heroin berkenaan,” katanya.

Kesemua kontena terbabit kemudiannya diletakkan semula di atas kapal sebelum ia memulakan pelayaran ke Antwerp.

Agensi penguatkuasaan Belanda dan Belgium mengesan pergerakan kontena itu ketika ia sedang dalam perjalanan menggunakan lori dari Antwerp ke Rotterdam, sebelum menahan empat penyeludup.

Pegawai NCA, Matt Horne berkata, rampasan itu mencatat rekod sebagai yang terbesar di United Kingdom dan antara terbesar pernah dilakukan di seluruh Eropah.

“Saiz penghantaran heroin kali ini menunjukkan betapa serius ancaman yang kita hadapi sekarang,” katanya. - AFP

Berita Harian X