Khamis, 12 September 2019 | 7:38pm
PERDANA Menteri British, Boris Johnson. - Foto Reuters

Boris Johnson nafi menipu Ratu England

LONDON: Perdana Menteri British, Boris Johnson menafikan berbohong kepada Ratu England, mengenai alasan untuk membubarkan parlimen selama lima minggu selepas mahkamah mendapati ia tidak sah.

Pembangkang menyifatkan penggantungan sesi parlimen bermula Isnin lalu sehingga 14 Oktober sebagai satu langkah yang direka untuk menggagalkan usaha (pembangkang) menjejaskan rancangan Johnson untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

Ia sekali gus membolehkan beliau meneruskan Brexit pada 31 Oktober tanpa perjanjian.

Rabu lalu, Mahkamah Rayuan Scotland mendapati penggantungan itu adalah bertentangan dengan undang-undang dan bertujuan untuk menghalang penggubal undang-undang.

Pembangkang turut menuduh Johnson berbohong kepada Ratu England mengenai alasan sebenar penggantungan itu.

Johnson berkata semua dakwaan itu adalah tidak benar.

Kerajaan dan parlimen masih dibelenggu konflik masa depan Brexit dengan hanya tujuh minggu berbaki. Antara kemungkinan yang pasti adalah sama ada memilih untuk berundur tanpa perjanjian atau berdepan satu lagi pungutan suara.

Johnson berkata kerajaan sedang menunggu untuk mendengar rayuan terhadap keputusan mahkamah Scotland itu di Mahkamah Agung, badan kehakiman tertinggi United Kingdom (UK) minggu depan. - Reuters

Berita Harian X