Sabtu, 28 September 2019 | 4:16pm
Lapangan terbang Pulkovo St Petersburg, Russia. Foto Agensi
Lapangan terbang Pulkovo St Petersburg, Russia. Foto Agensi

Rakyat Indonesia dibenar ke St Petersburg guna e-visa percuma

Jakarta: Rakyat Indonesia adalah antara warga dari 53 negara yang dibenar memasuki Russia menerusi St Petersburg dan Leningrad, menggunakan e-visa percuma mulai 1 Oktober ini.

“Mulai 1 Oktober, lapangan terbang Pulkovo St Petersburg akan menerima ketibaan pelancong dari 53 negara, yang memasuki Persekutuan Russia menggunakan e-visa percuma,” kata satu kenyataan yang dipetik oleh Jakarta Post.

Akhbar Jakarta Post yang memetik kenyataan itu melaporkan, segala langkah teknikal dan organisasi yang diperlukan, termasuk kemudahan kawalan sempadan sudah disediakan oleh lapangan terbang itu.

Selain Indonesia, negara lain yang tersenarai adalah Austria, Andorra, Bahrain, Belgium, Bulgaria, China,Taiwan, Republik Czech, Croatia, Cyprus, Denmark, Estonia, Hungary, Jerman, Greece, India, Iran, Ireland, Iceland, Itali dan Kuwait.

Yang turut tersenarai, Finland, Perancis, Jepun, Latvia, Lithuania, Liechtenstein, Luxembourg, Malaysia, Malta, Mexico, Monaco, Belanda, Korea Utara, Macedonia Utara, Norway, Oman, Filipina, Poland, Portugal, Qatar, Romania, San Marino, Arab Saudi, Serbia, Singapura, Slovakia, Slovenia, Sepanyol, Sweden, Switzerland, Turki dan Vatican.

Selain pelancong, pengembara bagi tujuan perniagaan dan misi kemanusiaan di ibu kota kebudayaan Russia itu juga boleh memohon secara dalam talian untuk memperoleh visa percuma.

“Permohonan itu boleh dibuat selewat-lewatnya dalam tempoh empat hari atau sekurang-kurangnya 20 hari sebelum tarikh ketibaan.

“Pengunjung akan dibenarkan tinggal di Russia selama lapan hari daripada tempoh sah selama 30 hari,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, permohonan bagi e-visa itu akan dibuka mulai Selasa ini, menerusi portal maklumat Kementerian Hal Ehwal Luar, Persekutuan Russia.

Lapangan terbang Pulkovo St Petersburg adalah lapangan terbang keempat paling sibuk di Russia, dan ia mengendalikan kira-kira 13.2 juta penumpang sepanjang tempoh Januari hingga Ogos lalu. - Agensi

Berita Harian X