Khamis, 10 Oktober 2019 | 5:08pm

Penembak Jerman siar manifesto sebelum lancar serangan anti-semitik

BERLIN: Seorang penyerang yang menembak mati dua orang di bandar Halle, Jerman semalam ada menyiarkan manifesto anti-semitik dalam talian lebih seminggu lalu, kata kumpulan pemantau SITE dan media Jerman hari ini.

Insiden serangan yang berlaku ketika penganut Yahudi menyambut perayaan Yom Kippur turut dirakam penyerang dan dimuat naik secara penstriman langsung dengan niat menghina penganut agama itu.

Pengarah SITE, Rita Katz yang menjejaki aktiviti kumpulan ekstremis dalam talian berkata di Twitter, satu dokumen PDF muncul dalam talian yang turut memaparkan gambar senjata dan peluru yang digunakannya.

Dalam video penstriman langsung itu, suspek turut berkongsi latar belakang diri serta objektifnya untuk membunuh ‘anti-kulit putih’ termasuk orang Yahudi.

Akhbar Jerman Die Welt berkata, teks 10 halaman yang ditulis dalam bahasa Inggeris itu secara khusus menyebut rancangannya untuk menyerang pusat ibadat orang Yahudi di Halle ketika sambutan Yom Kippur.

Serangan itu disiarkan secara langsung selama 35 minit di Twitch, dan dilihat oleh kira-kira 2,200 orang, kata platform dalam talian itu.

Suspek berjaya ditangkap selepas berbalas tembakan dengan polis hingga menyebabkan dia tercedera. - AFP

Berita Harian X