Rabu, 16 Oktober 2019 | 7:44am
Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab berkata, lesen eksport senjata lanjut tidak akan dikeluarkan kepada Turki ketika negara itu menjalankan semakan dalam langkah sama diambil Kanada. -Foto AFP
Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab berkata, lesen eksport senjata lanjut tidak akan dikeluarkan kepada Turki ketika negara itu menjalankan semakan dalam langkah sama diambil Kanada. -Foto AFP

Britain, Kanada sekat jualan, permit senjata kepada Turki

LONDON/OTTAWA: Britain akan menghentikan pengeluaran lesen eksport senjata baharunya kepada Turki berikutan kebimbangan operasi tenteranya ke atas pasukan Kurdis di timur laut Syria, kata Setiausaha Luarnya, Dominic Raab semalam.

“Kerajaan UK (United Kingdom) mengambil tanggungjawab kawalan eksport senjatanya secara serius dan dalam kes ini, sudah pasti kami akan memastikan eksport pertahanan ke Turki di bawah penelitian amat berhati-hati dan berterusan.

“Tiada lesen eksport kepada Turki untuk peralatan yang mungkin digunakan dalam operasi tentera di Syria akan dikeluarkan ketika kami menjalankan semakan,” katanya kepada Parlimen Britain.

Sementara itu, Kanada semalam mengumumkan, ia secara sementara menggantung ‘permit eksport baharu’ kepada Turki terutama peralatan ketenteraan, sebagai tindak balas tentangan Ankara ke utara Syria.

“Kanada secara tegas mengutuk pencerobohan tentera Turki ke dalam Syria. Tindakan sebelah pihak itu berisiko menjejaskan kestabilan rantau yang sudah sedia rapuh, memburukkan lagi situasi kemanusiaan dan melambatkan perkembangan dicapai Pakatan Global Menentang Daesh yang turut dianggotai Ankara,” kata Global Affairs Canada, Kementerian Luarnya, dalam satu kenyataan.

Kementerian berkata, penggantungan permit eksport itu meliputi peralatan kawalan penting ketenteraan, menurut senarai disediakan. Tindakan Ottawa itu selepas tindakan sama dilakukan beberapa negara Kesatuan Eropah (EU).

Jualan senjata Kanada kepada Turki berjumlah hampir CAD$116 juta (RM371.39 juta) pada 2018, menurut Global Affairs. -AFP/Reuters

Berita Harian X