Rabu, 23 Oktober 2019 | 5:19pm
Polis mengawal kawasan perindustrian di Essex, iaitu lokasi 39 mayat ditemui di dalam kontena trak. Foto Agensi

39 mayat ditemui dalam kontena trak

LONDON: Polis Britain berjaya menemui 39 mayat di dalam kontena sebuah trak, dipercayai dari Bulgaria.

“Ia adalah satu insiden yang tragik apabila sejumlah manusia ditemui meninggal dunia,” kata polis Essex dalam satu kenyataan.

Katanya, kesemua mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian yang terletak di kawasan perindustrian di Grays, di bahagian timur London.

Sementara itu, Reuters melaporkan, kontena itu masuk ke Britain menerusi Holyhead, Wales pada Sabtu lalu.

Susulan itu, polis berkata, pemandu trak berusia 25 tahun yang berasal dari Ireland Utara ditahan, kerana disyaki membunuh.

“Kami dalam proses mengenal pasti mangsa, tetapi saya yakin ia akan mengambil masa yang lama.

“Kami sudah menahan pemandu lori kerana dipercayai terbabit dalam insiden itu dan beliau akan terus ditahan sehingga siasatan selesai,” kata Ketua Superintendan, Andrew Mariner.

Perkhidmatan kecemasan pula berkata, kesemua mayat ditemui di dalam tempat penyimpanan di Taman Perindustrian Waterglade, Grays, yang terletak berhampiran Sungai Thames, kira-kira 32 kilometer dari tengah London.

Katanya, kesemua 39 mangsa, iaitu 38 dewasa dan seorang remaja disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Ia satu berita amat menyedihkan kerana ia membabitkan kehilangan nyawa. Takziah kepada mangsa, keluarga dan sahabat mereka.

“Polis sedang berusaha bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab di bawa ke muka pengadilan,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Brandon Lewis di Twitter. - AFP/Reuters

Berita Harian X