Ahad, 27 Oktober 2019 | 8:41am
ANGGOTA forensik menyiasat trak peti sejuk yang digunakan untuk menyeludup mangsa. - Foto AFP

Kes kematian 39 individu, pemandu trak didakwa

LONDON : Polis British yang menyiasat kes kematian 39 individu dalam sebuah trak peti sejuk memberitahu, mereka sudah mendakwa pemandu kenderaan berkenaan atas tuduhan membunuh dan penyeludupan manusia.

Maurice Robinson, 25 dari Ireland Utara berdepan 39 tuduhan membunuh, konspirasi penyeludupan manusia, konspirasi membantu kesalahan imigresen dan pengubahan wang.

Robinson ditahan sejurus selepas kesemua mayat berkenaan ditemui dalam trak di Purfleet, Sungai Thames selepas tiba dengan feri dari Pelabuhan Zeebrugge, Belgium awal Rabu lalu.

Dia dijangka dihadapkan ke mahkamah esok, kata polis Essex.

Polis turut menahan tiga lagi suspek atas tuduhan konspirasi membunuh dan penyeludupan manusia.

Mereka seorang lelaki dan wanita, masing-masing berusia 38 tahun dari Warrington, barat laut England.

Wanita terbabit dipercayai adalah pemilik sah trak itu.

Seorang lelaki berusia 48 tahun dari Ireland Utara turut ditahan.

Sabtu lalu, polis Ireland mengumumkan satu lagi penahanan di pelabuhan Dublin, membabitkan seorang lelaki berusia lingkungan 20an dari Ireland Utara. - AFP

Berita Harian X