Sabtu, 2 November 2019 | 9:30pm

31 pendatang Pakistan ditemui menyorok dalam lori

NICE (PERANCIS): Lebih daripada 30 pendatang Pakistan ditemui bersembunyi di dalam sebuah lori di selatan Perancis, kata pendakwa hari ini.

Pemandu lori berkenaan yang juga berasal dari Pakistan, sudah ditahan untuk siasatan.

Penemuan itu berlaku selepas 39 individu, kesemuanya dipercayai rakyat Vietnam ditemui mati dalam sebuah trak sejuk beku di Britain bulan lalu, sekali gus mendedahkan risiko laluan haram pendatang ke Eropah.

Barisan pendakwa Perancis berkata, kumpulan 31 pendatang Pakistan berkenaan ditemui ketika pemeriksaan rutin di lebuh raya, berhampiran sempadan Itali, semalam.

Kesemua mereka, termasuk tiga remaja diserahkan kepada pihak berkuasa Itali, selaras dengan prosedur imigresen.

“Kami akan cuba mengenal pasti jika boleh mengesan rangkaian dan individu bertanggungjawab seperti yang sering dilakukan dalam kes seumpamanya,” kata pendakwa dari Nice itu. - AFP

Berita Harian X