Khamis, 7 November 2019 | 6:44pm
Gambar fail, pendatang mengambil barang mereka selepas polis Perancis memindahkan pendatang yang tinggal di kem sementara yang dibina di bawah jambatan Porte de la Chapelle di Paris, Perancis pada Januari lalu. - Foto REUTERS

Polis hapus khemah pelarian di Paris

PARIS: Polis Perancis mula membersihkan khemah pendatang di utara Paris hari ini, sehari selepas kerajaan mengumumkan dasar imigresen negara itu diketatkan.

Beberapa bas membawa ratusan pendatang di kawasan Porte de la Chapelle, penempatan pelarian yang hidup di dalam kawasan khemah di bawah dan sekitar kawasan jejambat di lingkaran jalan Perpherique Paris dan susur keluar ke lebuh raya A1.

“Saya tidak akan lagi bertolak ansur dengan pemasangan khemah di sepanjang jalan di sini atau di mana saja di kawasan awam di Paris,” kata ketua polis Paris, Didier Lalement kepada wartawan.

Sejak penutupan kem terbesar pendatang di Calais pada 2016, jumlah pelarian memasuki Paris semakin bertambah.

Tindakan memusnahkan khemah hanya akan menyaksikan ia tumbuh lagi bagaikan cendawan di kawasan lain beberapa bulan kemudian.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Edouard Philippe mengumumkan penutupan khemah pelarian, kuota pekerja pelarian dan had untuk kemasukan penjagaan kesihatan bukan kecemasan untuk pemohon suaka sebagai sebahagian daripada bukti kerajaan bertindak balas terhadap kebimbangan pengundi berhubung isu imigresen. - Reuters

Berita Harian X