Jumaat, 8 November 2019 | 10:15pm
Anggota bomba tiba di lokasi lombong Teutschenthal, berhampiran Halle, Jerman. Foto Reuters

Pelombong terperangkap berjaya diselamatkan

BERLIN: Kira-kira 36 pekerja lombong di timur Jerman, berjaya diselamatkan semalam, selepas terperangkap sejauh 700 meter di dalam tanah, susulan satu insiden letupan di lokasi terbabit.

Stesen penyiaran tempatan, MDR melaporkan anggota bomba bertungkus lumus menyelamatkan mangsa, dan tidak lama kemudian, polis dalam mesej di Twitter berkata: “Kesemua pekerja berjaya diselamatkan”.

Menurut laman web berita Mitteldeutsche Zeitung, sebelum operasi menyelamat dilancarkan, pengendali lombong potash (kalium) itu mendedahkan, seorang pekerja mengalami cedera parah.

Kesemua pelombong itu menyelamatkan diri di satu bahagian lombong yang dilaporkan selamat dan mereka diberikan bekalan oksigen.

Lombong berkenaan terletak di Teutschenthal, iaitu kira-kira 150 kilometer di barat daya Berlin.

Terdahulu, pihak pengurusan lombong berkata, operasi menyelamat pekerja yang terperangkap tidak berdepan masalah, kerana laluan keluar tidak terjejas.

“Lombong itu yang terletak di luar bandar Halle, ditutup pada 1982 tetapi digunakan untuk memproses sisa buangan lombong dari kawasan lain,” lapor Mitteldeutsche Zeitung.

Kira-kira 100 pekerja dilaporkan berada di lombong berkenaan. - Reuters

Berita Harian X