Ahad, 10 November 2019 | 6:43pm
ANTARA seekor Harimau betina yang menerima jagaan rapi di zoo Poland. - Fotot AFP

9 harimau terkandas kembali pulih di zoo Poland

WARSAW : Sembilan harimau yang terkandas dan meraih simpati ramai, selepas ditemui dengan keadaan lemah ketika dalam perjalanan dari Itali, kini kembali pulih setelah menerima jagaan rapi serta rawatan oleh dua zoo di Poland.

Kesemua haiwan berkenaan menempuh perjalanan penuh sukar merentasi Eropah bulan lalu yang turut menyaksikan 10 harimau mati akibat kebuluran.

Tujuh daripada haiwan itu kini diberi makanan mencukupi serta vitamin dan garam mineral di sebuah zoo di Poznan, barat Poland.

Petugas zoo berkata, tiga harimau jantan dan empat harimau betina bagaimanapun masih berada dalam keadaan tertekan serta bersikap agresif, selain hanya menghabiskan separuh daripada jumlah makanan diperlukan, iaitu lima hingga enam kilogram daging lembu atau kuda.

Menurut doktor haiwan, jumlah makanan itu hanya boleh ditambah sedikit demi sedikit kerana haiwan berkenaan terbiar kebuluran untuk satu tempoh yang agak panjang.

Dua lagi harimau ditempatkan di zoo berlainan dan berada dalam keadaan lebih baik.

Kedua-dua zoo terbabit tampil membantu selepas golongan pencinta haiwan memulakan kutipan dana untuk membantu kumpulan harimau itu.

Sementara itu pihak berkuasa Poland berkata, mereka mendakwa dua pemandu trak dari Itali dan seorang lelaki Russia, dipercayai terbabit membawa kesemua harimau berkenaan dari Itali sejak 22 Oktober lalu, sebelum terkandas di sempadan Belarus.

Menurut pertubuhan hak asasi haiwan, dianggarkan hanya terdapat 3,200 dan 3,900 harimau masih hidup dalam keadaan liar di seluruh dunia.

Sejumlah 7,000 lagi berada dalam kurungan, kebanyakannya di Asia. - AFP

Berita Harian X