Isnin, 11 November 2019 | 10:06pm
Penunjuk perasaan berarak di sebalik kain rentang bertulis ‘Hentikan Islamofobia’ di Gare du Nord, Perancis semalam. -Foto EPA

Ribuan berarak di Perancis tolak Islamofobia

PARIS: Lebih 10,000 orang berkumpul di utara Paris semalam untuk berarak menentang Islamofobia, menarik kritikan daripada kerajaan dan kumpulan nasionalis.

Gesaan perhimpunan itu dibuat susulan serangan ke atas sebuah masjid di bandar selatan Perancis di Bayonne bulan lalu oleh seorang lelaki 84 tahun, bekas aktivis nasionalis yang menembak dan mencederakan dua lelaki.

Ramai penunjuk perasaan membawa sepanduk mengutuk serangan ke atas Islam, sejumlah wanita memakai tudung sementara yang lain memakai selendang biru, putih dan merah sempena warna bendera Perancis.

Menurut kiraan syarikat perunding Occurence dan disahkan cawangan media termasuk AFP, kira-kira 13,500 orang mengambil bahagian dalam perarakan.

Perarakan itu digesa sejumlah individu dan pertubuhan termasuk Kesatuan Kolektif menentang Islamofobia di Perancis (CCIF).

Ia juga diadakan ketika debat berhubung pemakaian tudung dihidupkan semula di Perancis yang berlatar belakangkan beberapa serangan militan di negara itu. -AFP


Kumpulan wanita memakai tudung memegang poster bertulis ‘Hentikan Islamofobia’ di Paris, Perancis, semalam. -Foto EPA

Berita Harian X