Isnin, 11 November 2019 | 10:38pm
Gempa itu dirasai di kawasan meluas antara Lyon dan Montelimar, yang terletak sejauh 150 kilometer antara satu sama lain, kata pejabat seismologi nasional. -Foto Agensi

4 cedera, gempa magnitud 5.4 di tenggara Perancis

LYON: Satu kejadian gempa bumi dengan magnitud 5.4 di tenggara Perancis hari ini mencederakan empat orang, seorang daripadanya parah, kata pihak berkuasa.

Gempa itu dirasai di kawasan meluas antara bandar ini dan Montelimar, yang terletak sejauh 150 kilometer antara satu sama lain, kata pejabat seismologi nasional.

“Saya sedang bersandar pada ketuhar di kedai roti ibu saya apabila merasa gegaran. Pinggan seorang pelanggan terjatuh dan semuanya pecah,” kata Victoria Brielle, seorang penduduk di Privas, sejauh 25 kilometer dari pusat gempa.

Seorang lagi penduduk di kawasan itu, Didier Levy, yang menetap dalam istana kurun ke-15 memberitahu AFP, candelier (lampu hiasan) masih bergoyang beberapa minit selepas gempa.

Levy, berkata, anjingnya mula menyalak sebelum beliau merasai gegaran itu.

“Saya tidak pernah mengalami kejadian seperti ini. Saya dapat merasakan gegaran walaupun dinding ini setebal satu meter,” katanya.

Pejabat serantau berkata, seorang individu cedera parah apabila perancah runtuh manakala tiga mangsa lain di rantau berjiran Ardeche, cedera ringan. -AFP

Berita Harian X