Isnin, 11 November 2019 | 11:19pm
Wanita Islam Rohingya menangis ketika mendukung anaknya apabila ditahan tentera sempadan India-Bangladesh. -Foto Reuters

Gambia fail kes genosid ke atas Myanmar di ICJ

THE HAGUE: Gambia berkata hari ini, ia memfailkan satu kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menuduh Myanmar melakukan genosid ke atas Rohingya, menarik pujian daripada kumpulan hak asasi manusia dan aktivis minoriti Islam berkenaan.

Lebih 730,000 Muslim Rohingya lari ke negara jiran Bangladesh sejak tindakan keras 2017 oleh tentera Myanmar yang dikatakan penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dilakukan dengan ‘niat penghapusan kaum’ namun dinafikan negara majoriti Buddha itu.

Gambia, negara kecil Islam di Afrika Barat, memfailkan tuntutan selepas mendapat sokongan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang memiliki 57 negara anggota. Hanya sebuah negara boleh memfailkan satu kes antara satu sama lain di ICJ.

“Matlamatnya ialah supaya Myanmar bertanggungjawab terhadap tindakannya ke atas rakyatnya sendiri iaitu Muslim Rohingya.

“Agak memalukan buat generasi kita kerana tidak melakukan apa-apa ketika genosid berlaku di depan mata,” kata Menteri Kehakiman Abubacarr Tambadou dalam sidang media di sini.


Abubacarr Tambadou ketika wawancara di Banjul, Gambia. -Foto Reuters

Kedua-dua Gambia dan Myanmar adalah penandatangan Konvensyen Genosid 1948, yang bukan hanya melarang negara daripada melakukan genosid namun mewajibkan semua anggota mencegah dan menghukum jenayah membabitkan genosid.

Ketika ICJ tiada cara menguatkuasakan sebarang keputusannya, menentang keputusan mahkamah mungkin menjejaskan lagi reputasi antarabangsa Myanmar.

“Ini adalah saat penting buat komuniti Rohingya yang menderita sekian lama. Perincian mahkamah mengenai pengalaman kami sebagai genosid sudah lama tertangguh,” kata aktivis Rohingya, Yasmin Ullah dalam sidang media selepas kes itu diumumkan sambil menggesa negara lain menyertai Gambia dalam tuntutan ICJ itu.

Human Rights Watch mengalu-alukan langkah itu.

Menjelaskan mengapa Gambia mengambil inisiatif itu, Abubacarr berkata, lawatan untuk melihat pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar, Bangladesh mengingatkan beliau mengenai tugasnya sebagai pendakwa raya tribunal yang ditubuhkan untuk membicarakan pihak yang bertanggungjawab atas genosid pada 1994 di Rwanda. -Reuters

Berita Harian X