Selasa, 12 November 2019 | 10:38am
Doktor memeriksa Achmaa, 10 bulan, yang disahkan menghidap pneumonia di sebuah hospital kanak-kanak di Bayangol, Ulaanbaatar, Mongolia. Foto Reuters

800,000 bayi, kanak-kanak maut akibat pneumonia

LONDON: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendedahkan pneumonia mengakibatkan kematian lebih 800,000 bayi dan kanak-kanak tahun lalu, atau seorang kanak-kanak bagi setiap 39 saat.

Berikutan itu, UNICEF; pertubuhan antarabangsa, Save The Children dan empat lagi agensi kesihatan dalam laporannya, menggesa kerajaan meningkatkan pelaburan dalam penghasilan vaksin, selain perkhidmatan kesihatan dan ubat-ubatan bagi merawat penyakit itu.

“Penyakit ini boleh dicegah, dirawat dan dikesan dengan mudah. Jadi, amat mengejutkan kerana ia masih menjadi punca kematian terbesar kanak-kanak di dunia,” kata ketua eksekutif GAVI, Seth Berkley.

Pneumonia adalah penyakit paru-paru yang disebabkan oleh bakteria, virus atau kulat, dan pesakit yang menghidap penyakit itu, akan mengalami kesukaran bernafas apabila paru-paru mereka dipenuhi cecair serta nanah.

Bagaimanapun, penyakit itu boleh dicegah menerusi suntikan vaksin dan rawatan antibiotik serta oksigen, jika ia membabitkan kes yang lebih serius.

Namun, kesemua kemudahan terbabit sukar diperoleh, terutama di negara miskin.

Dalam pada itu, lebih separuh daripada kadar kematian berkenaan dicatatkan di Nigeria, India, Pakistan, Republik Demokratik Congo dan Habsyah, kebanyakannya membabitkan bayi yang belum mencecah usia dua tahun.

“Jutaan kanak-kanak menemui ajal akibat kesukaran mendapatkan suntikan vaksin, antibiotik dan rawatan oksigen secara berkala.

“Penyakit ini sudah menjadi satu wabak global, yang memerlukan tindakan segera daripada masyarakat antarabangsa,” kata ketua eksekutif, Save the Children, Kevin Watkins. - Reuters

Berita Harian X