Selasa, 12 November 2019 | 10:49pm
Penduduk berjalan di sepanjang pantai di Cabreton, barat daya Perancis di mana beberapa bungkusan dadah ditemui. -Foto AFP

Polis Perancis tutup pantai kerana bungkusan dadah hanyut

RENNES: Pihak berkuasa Perancis menutup pantai di barat daya negara itu ketika bungkusan kokain dan dadah lain terus hanyut setiap hari di sepanjang pantai Atlantik itu, dengan hampir 900 kilogram ditemui sejak pertengahan Oktober lalu, kata seorang pendakwa raya hari ini.

Pihak berkuasa berkata, kokain yang ditemui adalah jenis asli sesetengahnya 83 peratus, memberi amaran, penduduk yang menemui bungkusan itu supaya tidak menyentuhnya tetapi memaklumkan polis.

Itu tidak menghalang sesetengah penduduk yang cuba mengambil dadah terbabit yang mana nilai jalanannya berjumlah jutaan euro, menyebabkan polis menutup pantai dan memulakan rondaan.

Semalam, seorang remaja 17 tahun ditangkap bersama lima kilogram kokain di Lacanau, pantai meluncur berhampiran bandar barat daya Bordeaux, walaupun dia berasal dari Toulouse, sejauh tiga jam dari situ.

Sebanyak enam pantai lain di kawasan itu juga ditutup, dengan polis menahan pejalan kaki untuk pemeriksaan dan kenderaan ditinggalkan di lot parkir berhampiran.

Sebuah helikopter polis turut digunakan di sepanjang 125 kilometer antara Cap Ferret dan Soulac-sur-Mer, yang termasuk pantai Lacanau.

Seorang wanita dikenali Martine tidak menyedari notis penutupan di pantai Porge semalam apabila polis mengarahkannya dan rakan supaya beredar.

“Apabila kami berpatah balik, kami melihat bungkusan berhampiran air. Kami ada niat untuk mengambilnya namun kami jujur!” katanya memaklumkan polis yang menganggarkan dadah itu seberat empat kilogram sebelum menutupnya dengan beg plastik.

“Kami menjumpai 872 kilogram,” kata pendakwa raya di bandar barat Rennes, Philippe Astruc, di mana pihak berkuasa menyelaras pencarian.

Ia adalah peningkatan mendadak berbanding dua hari lalu apabila 763 kilogram dadah dilaporkan dijumpai.

“Pemantauan berterusan dilakukan oleh perkhidmatan berbeza terutama agensi kastam di sepanjang pantai Perancis. Dalam bentuk ini (dadah) ia adalah produk amat berbahaya yang boleh menyebabkan dos berlebihan,” kata pejabat Astruc kelmarin.

Pihak berkuasa melaporkan kemunculan dadah di pantai berhampiran Nantes sepanjang jalan ke bandar percutian di Biarritz, lebih 500 kilometer ke selatan.

Penyiasat Perancis bekerjasama dengan rakan sejawatan dari Eropah serta Agensi Penguatkuasa Dadah Amerika Syarikat untuk cuba mengenal pasti mengapa dadah terbabit hanyut. -AFP

Berita Harian X