Rabu, 13 November 2019 | 7:16am
Pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn bersama mangsa banjir di Bentley, Doncaster, Britain. Foto Reuters

Tentera dikerah bantu mangsa banjir di England

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, berkata 100 anggota tentera akan dikerah ke utara England, selepas dikritik berhubung kegagalan kerajaan membantu mangsa banjir di kawasan itu.

Johnson memutuskan perkara berkenaan, selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tindakan kecemasan di sini, semalam.

Terdahulu, pemimpin pembangkang dari Parti Buruh, Jeremy Corbyn, dalam sepucuk surat mendesak Johnson supaya mengambil tindakan segera bagi menangani banjir.

Hujan lebat yang melanda beberapa bahagian di utara England pada Khamis lalu, mengakibatkan banjir dan ia sudah meragut nyawa seorang wanita, manakala beberapa penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka.

“Banjir yang berlaku baru-baru ini, menjejaskan orang ramai dan perniagaan, jadi kita akan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan kepada kesemua mangsa.

“Justeru, kami akan menyediakan dana bagi membantu orang ramai dan perniagaan untuk memulakan kembali kehidupan mereka,” kata Johnson dalam satu kenyataan bagi mengumumkan penempatan tentera dan bantuan tambahan kepada kawasan terjejas.

Dalam pada itu, semalam, Corbyn melawat mangsa di Yorkshire, selepas air sungai Don melimpah, lalu mengakibatkan banjir di kawasan berkenaan, menjelang pilihan raya pada 12 Disember ini.

Beliau turut mengkritik Johnson kerana gagal mengumumkan perintah darurat minggu lalu, bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada mangsa banjir di wilayah itu. - AFP

Berita Harian X