Rabu, 13 November 2019 | 5:51pm
BANDAR Venice ditenggelami air bakal isytihar darurat. - Foto EPA

Venice ditenggelami air pasang, bakal isytihar darurat

VENICE: Datuk bandar Venice melakukan persiapan untuk mengisytiharkan bandar itu sebagai zon bencana, hari ini, selepas fenomena air pasang kedua tertinggi dalam rekod membanjiri gereja bersejarahnya dan menyebabkan banyak dataran dan laluan ditenggelami air.

Seorang lelaki tempatan dari salah satu pulau di lagun Venice, Pellestrina maut, malam tadi, selepas disambar petir, ketika menggunakan pam air elektrik, menurut pasukan bomba.

Pegawai perbandaran berkata, paras air pasang memuncak pada 187 sentimeter pada jam 10.50 malam waktu tempatan, semalam, tidak jauh daripada rekod 194 sentimeter pada 1966.

Rakaman waktu malam menunjukkan banjir yang ditiup angin kuat melanda pusat bandar itu.

“Situasi ini dramatik. Kami memohon supaya kerajaan membantu. Kosnya pasti akan tinggi. Ia kesan perubahan iklim,” kata Luigi Brugnaro di Twitter.

Beliau memberi amaran kerosakan teruk dan berkata, akan memohon supaya kerajaan mengisytiharkan darurat bagi membolehkan dana dilepaskan untuk membaiki kerosakan.

Dataran Saint Mark tenggelam lebih satu meter, sementara gereja Saint Mark bersebelahan turut dibanjiri untuk kali keenam selama 1,200 tahun.

Pagi tadi, paras air pasang naik kepada 145 sentimeter, namun dijangka meningkat semula kepada 160 sentimeter, hari sama. - Reuters

Berita Harian X