Rabu, 13 November 2019 | 8:11pm
Sebuah teko China jarang ditemui dilelong dengan harga mencecah AS$1.3 juta (RM5.4 juta), kira-kira 1,000 kali ganda berbanding nilai lelongan asal.

Harga teko melonjak RM5.4 juta selepas 10 minit dilelong

LONDON: Sebuah teko China jarang ditemui dilelong dengan harga mencecah AS$1.3 juta (RM5.4 juta), kira-kira 1,000 kali ganda berbanding nilai lelongan asal, lapor media antarabangsa.

British Broadcast Corporation (BBC) melaporkan pelelong meletakkan nilai teko itu antara $AS1,285 dan AS$2,570; (RM5,337.02) dan (RM10,674.04) tetapi hanya dalam tempoh 10 minit, ia dijual hingga mencecah RM5.4 juta, pada Isnin lalu.

Menurut BBC, teko hijau muda dengan ketinggian 13 sentimeter itu, digambarkan rumah lelongan Duke sebagai teko berbentuk buah pir jarang dengan penanda lambang Qianlong. Penanda itu adalah lambang maharaja Qianlong yang pernah memerintah China dari 1736 hingga 1795.

Telegraph melaporkan, penutup teko yang mempunyai sedikit keretakan, menampung bentuk pic dan bijinya, lambang keabadian dan perpaduan dalam keluarga diraja China.

Laporan BBC mendedahkan, teko itu dikesan ketika penilaian rutin tetapi ia menarik minat daripada ratusan pengumpul dan peraih ketika pameran.

Pada masa sama, laporan Telegrap mengatakan, berlaku ‘perang bidaan antarabangsa’ antara 10 pembida untuk teko terbabit. Pembida yang berjaya menawarkan harga AS$ 1 juta (RM4.15 juta), sebelum mengambil kira yuran rumah lelongan.

Pemilik asal teko itu tidak menyedari nilai sebenar sehingga seorang pakar mendedahkan nilainya. - AGENSI

Berita Harian X