Khamis, 14 November 2019 | 8:50am
DUA suspek kes pembunuhan beramai-ramai yang telah ditangkap di Norway dan New Zealand, Anders Behring Breivik (kanan) dan Brenton Tarrant.

Poland tangkap dua suspek rancang serang penduduk Islam

WARSAW: Dua lelaki ditangkap atas tuduhan merancang serangan ke atas penduduk Islam berdasarkan pembunuhan beramai-ramai di Norway oleh Anders Behring Breivik dan pengganas kulit putih, Brenton Tarrant di New Zealand, kata pihak berkuasa Poland semalam.

Tangkapan dibuat susulan siri serangan membabitkan pelampau kulit putih yang mensasarkan etnik dan minoriti agama di seluruh dunia.

Kumpulan berhaluan kanan semakin kuat di Poland, negara pasca komunis terbesar dalam Kesatuan Eropah.

Kedua-dua suspek itu ditahan Ahad lalu di Warsaw dan bandar raya Szczecin.

“Penangkapan adalah hasil maklumat dikumpul lebih awal oleh Agensi Keselamatan Dalam Negeri (ABW) mengenai kumpulan pelampau yang mensasarkan untuk mengugut penduduk Islam di Poland.

“Bahana yang dikumpul ketika siasatan menunjukkan kumpulan itu mahu mengikut contoh serangan pengganas dilakukan pelampau termasuk Anders Breivik pada 2011 di Norway dan Brenton Tarrant pada Mac lalu di New Zealand,” kata agensi itu dalam kenyataan.

Kumpulan itu berhasrat melancarkan serangan menggunakan senjata api dan bahan letupan.

Ketika menggeledah sebuah rumah di Wlochy di pinggir Warsaw, ejen ABW menemui kuantiti besar material yang digunakan untuk membuat bahan letupan, senjata dan peluru.

Breivik, anggota neo-Nazi yang anti-Islam membunuh 77 orang dalam keganasan terburuk di Norway pada Julai 2011.

Sementara Tarrant didakwa dengan serangan yang disiarkan secara langsung di Facebook pada Mac 2019 di dua masjid di New Zealand, mengorbankan 51 jemaah dan mencederakan puluhan lagi. — Reuters

Berita Harian X