Khamis, 14 November 2019 | 11:38pm
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

ICC benar siasatan penuh kekejaman Myanmar terhadap Rohingya

THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) hari ini meluluskan siasatan penuh berhubung dakwaan kekejaman ke atas etnik Islam Rohingya, termasuk jenayah terhadap kemanusiaan dan penindasan.

Mahkamah jenayah di The Hague dalam satu kenyataan berkata, pendakwa diberi kuasa untuk meneruskan siasatan membabitkan dakwaan jenayah yang tertakluk dalam bidang kuasa ICC membabitkan Myanmar.

Siasatan itu akan memfokus kepada dakwaan yang membabitkan perlakuan kejam secara sistematik, penghantaran pulang sebagai jenayah terhadap kemanusiaan dan penindasan membabitkan etnik atau agama penduduk Rohingya, katanya.

Perkembangan itu terus menekan Myanmar yang baru saja berdepan dakwaan genosid berasingan awal minggu ini di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung layanannya terhadap Rohingya.

Pada 2017, Myanmar melancarkan tindakan kekerasan tentera yang memaksa 740,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, dalam kekejaman yang disifatkan PBB sebagai genosid.

Walaupun Myanmar tidak menganggotai ICC, mahkamah itu mempunyai bidang kuasa untuk mengarahkan siasatan penuh dijalankan kerana Bangladesh, negara tempat Rohingya berlindung adalah ahli. - AFP

Berita Harian X