Ahad, 17 November 2019 | 10:58am
PUTERA ketiga Ratu Elizabeth II, Putera Andrew. - Foto AFP

Putera Andrew nafi ada hubungan seks dengan mangsa Epstein

LONDON : Putera ketiga Ratu Elizabeth II, Putera Andrew menafikan terbabit mengadakan hubungan seks bersama seorang daripada mangsa jutawan terkemuka Amerika Syarikat (AS), Jeffrey Epstein, susulan pendedahan remaja berkenaan bahawa dia dipaksa untuk tidur bersama anggota keluarga Diraja England itu.

Penafian terbabit dibuat menerusi wawancara program Newsnight oleh BBC yang disiarkan semalam.

Andrew dalam program selama satu jam itu berulang kali menegaskan bahawa beliau tidak pernah bertemu remaja berkenaan yang dikenali sebagai Virginia Roberts.

Duke of York itu juga mengakui bahawa persahabatannya bersama Epstein yang masih berterusan walaupun setelah jutawan terbabit disabitkan dengan kesalahan aktiviti pelacuran mengecewakan keseluruhan keluarga Diraja.

Beliau bagaimanapun tidak percaya perkara itu merosakkan reputasi Ratu Elizabeth II.

“Saya dengan berani boleh katakan bahawa ia tidak pernah berlaku. Saya secara konsisten menegaskan bahawa tidak pernah memiliki sebarang hubungan seksual. Saya tak fikir ada bertemu wanita itu sebelum ini,” katanya.

Andrew, 59, pewaris kelapan takhta Diraja England sebelum ini dikecam hebat susulan persahabatan beliau bersama Epstein, yang ditemui mati di sel penjara di New York, Ogos lalu.

Laporan bedah siasat mengesahkan Epstein mati akibat membunuh diri ketika berada dalam tahanan, sementara menanti perbicaraan berhubung pemerdagangan gadis muda, seawal usia 14 tahun untuk aktiviti seks.

Dia sebelum itu mengaku bersalah pada 2008 atas tuduhan menggaji remaja perempuan berusia di bawah 18 tahun sebagai pelacur dan dijatuhkan hukuman penjara 13 bulan di AS.

Andrew yang pernah menerima kedatangan jutawan pedofilia itu di Istana Windsor dan kekal bersahabat bersama lelaki terbabit, yakin bahawa persahabatan berkenaan tidak mencemarkan imej ketua negara Britain.

“Saya percaya ia sama sekali tidak merosakkan imej Ratu dan saya menerima sokongan penuh seluruh anggota keluarga,” katanya. - AFP

Berita Harian X