Rabu, 20 November 2019 | 10:31pm
Keadaan kereta yang jatuh ke dalam lubang yang mengandungi air panas di Russia. - Foto EMERCOM IN PENZA REGION
Bangkai kereta diangkat keluar oleh kren dari dalam lubang mengandungi air panas. - Foto EMERCOM IN PENZA REGION

Paip air panas pecah, dua lelaki 'direbus' hidup-hidup

PENZA (RUSSIA) : Dua lelaki ‘direbus’ hidup-hidup apabila kereta yang mereka naiki tenggelam dalam lubang mengandungi air panas di sebuah bandar di Russia.

Kedua-dua mangsa terbunuh di lokasi kejadian, selepas terperangkap dan gagal menyelamatkan diri dalam insiden yang berlaku di Penza itu.

Imej yang dirakam turut memaparkan mayat mereka diangkat keluar, menggunakan kren, bersama-sama bangkai kereta dari jenis Lada Largus.

Paip air panas yang pecah dikenal pasti sebagai punca tragedi berkenaan.

Air panas disalurkan melalui paip, untuk kegunaan bangunan kediaman dan pejabat di Russia, pada setiap musim sejuk.

Identiti kedua-dua mangsa bagaimanapun tidak didedahkan.

Kementerian Kecemasan menerusi satu kenyataan berkata, sebuah kereta terjatuh ke dalam lubang mengandungi air panas apabila jalan dilalui jerlus secara tiba-tiba.

“Amat menyedihkan apabila kejadian ini meragut dua nyawa yang tidak bersalah,” kata kenyataan itu.

Orang ramai yang berang dengan pihak berkuasa tempatan turut bertindak menyuarakan kemarahan masing-masing di media sosial. - Agensi

Berita Harian X