X
Selasa, 26 November 2019 | 11:12am
Gambar fail, pasukan forensik melakukan pemeriksaan di lokasi kontena yang mengandungi 39 mayat pendatang Vietnam di Taman Pendustrian Waterglade, London pada 23 Oktober lalu. - Foto AFP
Gambar fail, pasukan forensik melakukan pemeriksaan di lokasi kontena yang mengandungi 39 mayat pendatang Vietnam di Taman Pendustrian Waterglade, London pada 23 Oktober lalu. - Foto AFP

39 pendatang Vietnam ditemui mati, pemandu mengaku salah dua pertuduhan

LONDON : Seorang pemandu British yang didakwa atas pertuduhan membunuh 39 pendatang Vietnam mengaku bersubahat dalam membantu kemasukan pendatang secara haram.

Maurice Robinson, 25 muncul dalam sidang video di Mahkamah Jenayah Central London dari penjara berkawalan tinggi, Belmarsh di tenggara London, dan mengaku bersalah atas dua daripada kesemua 43 tuduhan dikenakan ke atasnya.

Mayat kesemua lapan wanita dan 31 lelaki itu ditemui di dalam trak sejuk beku di sebuah kawasan perindustrian, pada awal pagi 23 Oktober lalu.

Trailer itu tiba dengan sebuah feri kargo dari pelabuhan Zeebrugge, Belgium.

Robinson, dari Ireland Utara berdepan 39 tuduhan membunuh, konspirasi penyeludupan manusia, konspirasi membantu kemasukan pendatang secara tidak sah dan pengubahan wang.

Tertuduh yang memakai baju panas berwarna biru mengaku bersalah membantu kemasukan pendatang secara haram.

Dia turut mengaku memiliki wang yang diperoleh hasil daripada perlakuan jenayah.

Hakim Andrew Eadis mengarahkan supaya rakan subahat Robinson tidak dinamakan.

Pemandu trak itu bagaimanapun tidak mengaku salah atas pertuduhan lain dan dijadualkan hadir di mahkamah sama pada 13 Disember nanti.

Seorang lagi pemandu, Christopher Kennedy, 23, juga dari Northern Ireland turut diarahkan hadir dalam sesi pendengaran berasingan di Old Bailey, pada tarikh yang sama.

Kennedy didakwa bersubahat merancang atau menyediakan kemudahan perjalanan membabitkan individu lain, dengan niat untuk mengeksploitasi. - AFP

Berita Harian X