Selasa, 3 Disember 2019 | 12:26pm
VLADIMIR Putin

Peranti elektronik wajib pasang perisian Russia tahun hadapan

MOSCOW: Presiden Vladimir Putin, semalam menandatangani perundangan mewajibkan semua telefon pintar, komputer dan televisyen pintar yang dijual di Russia dipasang dengan perisian negara itu.

Undang-undang itu, yang akan berkuat kuasa 1 Julai tahun hadapan, mendapat bantahan sesetengah peruncit, yang menyifatkan ia diterima tanpa berunding dengan mereka.

Undang-undang itu dibentangkan sebagai cara membantu firma teknologi maklumat Russia yang bersaing dengan syarikat asing dan tidak membebankan pengguna untuk memuat turun perisian sebaik membeli peranti baharu.

Pasaran telefon bimbit negara itu dikuasai syarikat asing termasuk Apple, Samsung dan Huawei.

Perundangan yang ditandatangani Putin itu menyatakan kerajaan akan mengeluarkan senarai aplikasi Russia yang perlu dipasang pada peranti berbeza.

Russia memperkenalkan undang-undang internet lebih tegas sejak beberapa tahun ini, mewajibkan enjin pencarian memadamkan beberapa hasil pencarian, perkhidmatan mesej berkongsi kunci pemindahan data kepada kod dengan perkhidmatan keselamatan dan rangkaian sosial supaya menyimpan data pengguna pada pelayar di negara itu. — Reuters

Berita Harian X