Selasa, 3 Disember 2019 | 12:46pm
BEKAS Ratu Ukraine, Veronika Didusenko. - Foto Reuters

Wanita tuntut golongan ibu dibenar sertai Ratu Dunia

KIEV: Bekas Ratu Ukraine yang ditarik balik gelaran dan dilarang menyertai Ratu Dunia kerana sudah menjadi ibu, memfailkan tindakan perundangan terhadap penganjur, menuntut pindaan peraturan pertandingan itu.

“Kami menuntut perubahan peraturan @missworld, bagi membolehkan semua wanita mengambil bahagian,” kata Veronika Didusenko, 24, di Instagram semalam selepas melancarkan kempen #righttobeamother.

Didusenko dimahkotakan Ratu Ukraine pada 2018, tetapi gelaran itu ditarik balik selepas penganjur mendapati beliau mempunyai anak lelaki berusia lima tahun dan tidak layak bertanding untuk gelaran Ratu Dunia.

“Alasan saya tidak dibenarkan bersaing pada pertandingan Ratu Dunia selepas menang gelaran Ratu Ukraine adalah kerana saya sudah berkahwin dan mempunyai anak,” katanya dalam Instagram.


Veronika Didusenko bersama anaknya. - Foto Reuters

Peraturan Ratu Dunia melarang ibu dan wanita berkahwin mengambil bahagian dalam pertandingan dan mewajibkan peserta menandatangani perjanjian.

Didusenko menuduh penganjur mengamalkan diskriminasi dan berkata pertandingan ratu cantik dunia seolah-olah tersekat dalam zaman kegelapan.

“Saya tidak mahukan mahkota itu semula.

“Saya mahu peraturan diubah untuk masyarakat lebih luas,” katanya.

Pusingan akhir pertandingan Ratu Dunia tahun ini akan diadakan di London pada 14 Disember.

Ukraine akan diwakili pelajar undang-undang, Margaryta Pasha. — Agensi

Berita Harian X