Selasa, 3 Disember 2019 | 11:05pm
Virginia Giuffre ketika ditemubual dalam program Panorama terbitan BBC. Foto AFP

Giuffre kesal alasan 'tidak masuk akal' penyokong Putera Andrew

LONDON: Seorang wanita warga Amerika Syarikat yang mendakwa menjadi mangsa pemerdagangan oleh jutawan, Jeffrey Epstein, bagi mengadakan hubungan seks dengan Putera Andrew, mengkritik alasan tidak masuk akal yang diberikan pihak istana, dalam satu temubual yang disiarkan, semalam.

Temubual berkenaan dirakamkan sebelum satu wawancara khas dengan Putera Andrew oleh BBC, yang memaksa beliau menarik diri daripada menjalankan tugas diraja, susulan tindakannya mempertahankan persahabatannya dengan Epstein.

Dalam temubual itu, Virginia Giuffre meminta sokongan orang ramai di Britain, ketika beliau menyangkal tuduhan yang dibuat oleh penyokong Andrew, selepas sekeping gambar menunjukkan putera raja itu merangkul pinggangnya, yang didakwa dipalsukan.

“Orang-orang di dalam (istana) akan terus memberikan pelbagai alasan yang tidak masuk akal, seperti lengannya (Putera Andrew) dipanjangkan atau gambar itu diubahsuai.

“Saya menganggap ia sebagai sesuatu yang karut. Beliau tahu apa yang berlaku, saya tahu apa yang berlaku dan hanya seorang daripada kami yang menyatakan sesuatu yang benar.

“Ia adalah gambar yang sebenar. Saya menyerahkannya kepada FBI (Biro Siasatan Persekutuan) untuk membantu siasatan mereka,” katanya.

Malah, Andrew sendiri turut meragui kesahihan gambar itu ketika diwawancara BBC, dan berkata, tiada siapa yang mampu membuktikan sama ada gambar itu sudah diubahsuai atau sebaliknya.

Terdahulu, Giuffre mendakwa dipaksa mengadakan hubungan seks dengan beberapa rakan Epstein ketika berusia 17 tahun.

Epstein ditemui mati di penjara New York pada Ogos lalu, ketika menunggu perbicaraan membabitkan tuduhan pemerdagangan seks.

Giuffre turut mendedahkan bahawa Epstein sering menganggunya, selepas mengetahui kisah hidupnya, termasuk pernah mengalami penderaan seksual.

Menurut Giuffre, Epstein pada awalnya menawarkan pekerjaan sebagai tukang urut, dan tidak lama kemudian mula melakukan penderaan terhadapnya.

Wanita itu mendakwa dibawa penasihat kewangan itu ke London pada 2001, dan kemudiannya diperkenalkan dengan Andrew dan teman wanita Epstein, Ghislaine Maxwell.

Ketika mengimbau perkara itu, beliau berkata, Andrew mengajaknya menari ketika berada di sebuah kelab malam dan memberitahu Panorama bahawa putera itu, adalah seorang penari yang teruk, yang pernah disaksikan sepanjang hidupnya.

“Beliau berpeluh dengan banyak seperti air hujan. Ia sesuatu yang amat menjijikkan tetapi saya tahu saya terpaksa menggembirakannya (Andrew) kerana itulah harapan yang diletakkan oleh Jeffrey (Epstein) dan Ghislaine (Maxwell) terhadap saya,” katanya. - AFP

Berita Harian X