Rabu, 4 Disember 2019 | 10:40am

Dana basmi malaria kehabisan, jutaan penduduk dunia terdedah risiko - WHO

LONDON: Jutaan penduduk dunia masih dijangkiti malaria setiap tahun manakala lebih 40,000 lagi meninggal dunia, kebanyakannya kanak-kanak di Afrika kerana usaha membasmi penyakit itu masih tertangguh, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

WHO memberi amaran, dana membiayai usaha memerangi malaria yang meragut nyawa seorang kanak-kanak pada setiap 2 minit sudah kehabisan, dan separuh daripada populasi penduduk dunia berisiko untuk dijangkiti penyakit berkenaan.

Serentak dengan itu, usaha memerangi malaria khususnya di negara yang berdepan masalah berkenaan perlu diperkasakan.

“Dunia membuktikan bahawa perkara ini boleh ditambah baik,” kata pakar malaria WHO, Pedro Alonso kepada wartawan.

Beliau memetik pengurangan signifikan ke atas bilangan kes dan kematian sejak 2010, daripada 239 juta kepada 214 juta pada 2015, manakala jumlah kematian menurun daripada 607,000 kepada sekitar 500,000 pada 2013.

“Perkembangan ini bagaimanapun semakin perlahan dan kita berhenti pada paras yang agak tinggi,” katanya.

Kes malaria pada 2018 turut mencatatkan sedikit penurunan, iaitu 228 juta, berbanding 231 juta pada 2017 manakala jumlah kematian berkurangan kepada 405,000, daripada 416,000 pada 2017.

Laporan WHO juga mendapati, wanita hamil dan kanak-kanak di Afrika terus berdepan risiko penyebaran wabak terbabit.

Dianggarkan 11 juta wanita hamil di negara sub Afrika atau 29 peratus dijangkiti malaria pada 2018, menyebabkan hampir 900,000 bayi dilahirkan dengan berat yang amat kurang, sekali gus menimbulkan pelbagai komplikasi kesihatan. - Reuters

Berita Harian X