Khamis, 9 Januari 2020 | 7:16pm
PUTERA Harry dan Meghan. - Foto AFP
PUTERA Harry dan Meghan. - Foto AFP

Tindakan Putera Harry kecewakan keluarga diraja Britain

LONDON: Keluarga diraja Britain kecewa dengan pengumuman Putera Harry dan isterinya, Meghan mahu mengundur diri daripada tugas rasmi dan meluangkan lebih masa di Amerika Utara.

Pengumuman Putera Harry dan Meghan yang dibuat melalui media sosial itu membuatkan ramai terkejut terutama nendanya, Ratu Elizabeth dan ayahandanya, Putera Charles kerana tiada sebarang perbincangan dibuat.

Selepas beberapa bulan memperhalusi dan meneliti keputusan itu, Putera Harry dan isterinya mahu berperanan lebih progresif bagi mendapat lebih ruang dengan membahagikan masa antara United Kingdom dan Amerika Utara.

Mereka turut berharap bebas dari segi kewangan dan merancang menubuhkan pertubuhan amal baharu sementara menjalankan tugas diraja.

Pengumuman pasangan terbabit mengundang pelbagai ulasan pemerhati dan yang menyamakannya seperti krisis membabitkan Raja Edward VIII yang turun takhta pada 1936 bagi mengahwini wanita Amerika Syarikat (AS), Wallis Simpson.

Sementara itu, Istana Buckingham memaklumkan, perbincangan dengan Putera Harry dan Meghan berhubung keputusan pasangan itu masih di peringkat awal.

"Kami memahami keinginan mereka untuk mengambil pendekatan berbeza tetapi ini adalah isu rumit yang mengambil masa untuk diselesaikan,” katanya.

Putera Harry berkahwin dengan Meghan pada Mei 2018 dalam satu majlis penuh istiadat di Istana Windsor dan dijadikan sebagai simbol monarki moden. - REUTERS

Berita Harian X