Selasa, 14 Januari 2020 | 6:31pm
MENARA Elizabeth. - Foto Reuters

Pendanaan awam untuk bunyikan Big Ben sempena Brexit - PM Britain

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, berkata kerajaan sedang menimbang untuk mengadakan kempen pendanaan awam bagi membolehkan Big Ben beroperasi pada 31 Januari ini, hari negara itu akan meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) yang dikenali sebagai Brexit.

  

Loceng seberat 13.7 tan itu sebahagian besarnya tidak beroperasi sejak tahun 2017, tatkala kerja pengubahsuaian dilakukan di Menara Elizabeth yang menempatkannya, dibunyikan hanya untuk acara penting seperti perayaan Tahun Baharu.

  

Johnson berkata, masalah utama untuk membolehkannya beroperasi pada 31 Januari ialah membabitkan kos sebanyak £500,000 (RM2.6 juta) dan sedang menimbang mengutip dana daripada orang ramai untuk membiayai kosnya.

Ia berikutan cadangan Big Ben dibunyikan pada jam 2300 GMT pada 31 Januari, iaitu ketika Brexit secara rasmi dijangka berlaku.

“Kita sedang membuat perancangan supaya orang ramai boleh menyumbang untuk Big Ben berbunyi," kata Johnson kepada BBC dalam temu bual. - REUTERS

Berita Harian X