Ahad, 9 Februari 2020 | 11:59pm
Ombak besar akibat Ribut Ciara yang dirakam di jalan persisiran pantai di Newhaven, Britain. - Foto Reuters
Ombak besar akibat Ribut Ciara yang dirakam di jalan persisiran pantai di Newhaven, Britain. - Foto Reuters

Britain, Ireland serta beberapa negara Eropah dilanda Ribut Ciara

LONDON: Britain dan Ireland dilanda angin kuat serta hujan lebat susulan ‘Ribut Ciara’ menyebabkan banyak perlawanan sukan dihentikan selain mengganggu perjalanan di sekitar Eropah.

Cuaca buruk turut melanda Perancis, Belgium, Belanda, Switzerland dan Jerman mengakibatkan banyak penerbangan terpaksa dibatalkan.

Di Britain, lebih 30,000 rumah terputus bekalan elektrik terutama di timur England manakala di Ireland, lebih 14,000 kediaman serta pejabat turut terputus bekalan elektrik,

Pada masa sama, kira-kira 120 penerbangan di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam terpaksa dibatalkan terutama membabitkan syarikat penerbangan KLM, British Airways, easyJet dan Lufthansa.

Beberapa lapangan terbang di Jerman turut menerima kesan sama akibat ribut terbabit terutama di Frankfurt, Berlin, Munich, Cologne and Hanover.

Di Belgium, Institut Meteorologi Diraja mengeluarkan amaran angin kuat selaju 130 kilometer per jam (kpj) atau lebih yang dikhuatiri mendatangkan kemusnahan kepada harta benda.

Kira-kira 60 penerbangan di Lapangan Terbang Brussels turut dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga. - AFP

Berita Harian X