Isnin, 10 Februari 2020 | 2:50pm

Ribut Ciara badai Britain, utara benua Eropah

LONDON: Ribut Ciara membadai Britain dan utara benua Eropah bersama hujan lebat serta angin kencang yang mencapai kelajuan melebihi 145 kilometer sejam pada Ahad, menyebabkan ratusan penerbangan, perkhidmatan kereta api dan perlawanan sukan terpaksa dibatalkan.

Lebih 200 amaran banjir dikeluarkan di seluruh Britain, yang merekodkan kelajuan angin maksimum 149 kilometer sejam di Aberdaron, Wales.

Satu amaran banjir teruk dikeluarkan di Yorkshire, utara England, di mana air dijangka melimpahi tembok penahan banjir dan berisiko mengancam nyawa.

Ribut itu menjejaskan sistem pengangkutan di rantau berkenaan. Di Belanda, kira-kira 240 penerbangan keluar dan masuk ke lapangan terbang Schiphol di Amsterdam yang merupakan antara paling sibuk di Eropah, dibatalkan apabila ribut Ciara melanda dengan angin kencang berkelajuan hingga 120 kilometer sejam.

Di Jerman, ribut Ciara yang dikenali sebagai Sabine, menyebabkan kira-kira 180 penerbangan keluar dan masuk lapangan terbang Frankfurt terpaksa dibatalkan, iaitu meliputi kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan jadual penerbangan.

Unit tambang murah Lufthansa, Eurowings, pula turut menggantung operasi penerbangannya di Hamburg, Berlin, Hanover, Dortmund, Duesseldorf, Cologne and Stuttgart.

Sementara itu, beberapa penerbangan domestik dan antarabangsa Britain juga dibatalkan, termasuk dari lapangan terbang Heathrow serta Gatwick.

Perkhidmatan kereta api juga menjadi mangsa ribut Ciara.

Operator kereta api Jerman, Deutsche Bahn, memberi amaran gangguan teruk dan akan menghentikan perjalanan kereta api jarak jauh di seluruh Jerman pada waktu petang.

Network Rail di Britain berkata, ribut itu menjejaskan rangkaian perkhidmatannya apabila talian kuasa dan pokok tumbang sehingga menghalang landasan, sekali gus memberi amaran supaya orang ramai menangguhkan perjalanan kecuali terpaksa.

Semua pergerakan kapal masuk dan keluar Pelabuhan Dover di Britain digantung, manakala Jambatan Humber di utara England ditutup kepada semua lalu lintas untuk kali kedua sejak dibuka pada 1981.

Lapan taman diraja di London yang mempunyai lebih 170,000 pokok juga ditutup, sementara upacara pertukaran pengawal di Istana Buckingham yang menjadi tarikan pelancong dibatalkan.

Malah, acara sukan juga terjejas meliputi perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Manchester City dengan West Ham terpaksa ditangguhkan, dan perlawanan ragbi wanita antara Scotland dengan England dibatalkan.

Semua pertandingan bola sepak profesional Belanda juga dibatalkan, begitu juga kebanyakan acara sukan luar yang lain. - REUTERS

Berita Harian X