Khamis, 13 Februari 2020 | 5:12pm

PBB dedah senarai 112 syarikat antarabangsa terbabit aktiviti di penempatan Israel

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan senarai 112 syarikat antarabangsa didapati terbabit dengan aktiviti di penempatan Israel, yang dianggap sebagai haram mengikut perundangan antarabangsa.

Langkah itu diraikan rakyat Palestin, namun diselar dan didakwa sebagai ‘tindakan memalukan’ oleh Israel kerana bimbang senarai terbabit berupaya mencetuskan gerakan boikot terhadap firma berkait dengan penempatan berkenaan.

Laporan PBB itu menyusul resolusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada 2016 yang menggesa satu ‘pangkalan data untuk semua perniagaan terbabit dalam aktiviti khusus berkaitan penempatan Israel di wilayah Palestin’.

Antara firma ‘gergasi’ antarabangsa yang dimasukkan dalam senarai itu ialah Airbnb, Alstom, Booking.com and Motorola Solutions.

Pejabat hak asasi PBB menegaskan, senarai syarikat dalam pangkalan data itu ‘bukan, dan tidak bermaksud, satu proses kehakiman atau kuasi-kehakiman’.

Ketua hak asasi PBB, Michelle Bachelet, berkata beliau sedar isu terbabit akan berterusan menjadi perbalahan hangat, namun penelitian terhadap senarai itu sudah melalui proses saringan ketat dan terperinci.

Katanya, laporan berkenaan ‘mencerminkan betapa serius pertimbangan terhadap mandat yang begitu kompleks dan pertama seumpamanya itu’.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyelar laporan itu.

“Sesiapa yang memboikot kami, akan diboikot,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pejabat beliau.

Menteri Luar Palestin, Riyad al-Malki, pula menyifatkan penerbitan itu sebagai ‘kejayaan usaha diplomatik dan undang-undang antarabangsa’. - AFP

Berita Harian X