Jumaat, 14 Februari 2020 | 2:48pm
TARIQ Ramadan - Foto AFP

Tuduhan rogol baharu terhadap Tariq Ramadan

PARIS: Pendakwah Islam, Tariq Ramadan, didakwa atas tuduhan merogol dua wanita selain menghadapi dua tuduhan rogol terhadapnya sebelum ini, kata peguamnya.

Ramadan, 57, yang memegang kerakyatan Switzerland, sebelum ini didakwa di Perancis pada 2009 kerana merogol seorang wanita kurang upaya dan seorang aktivis wanita pada 2012 tetapi dia menafikan tuduhan itu.

Semalam, Ramadan dihadapkan ke Mahkamah Magistret di Paris, di mana lebih banyak tuduhan dibuat berhubung kes terbaru membabitkan dua wanita yang dikenal pasti daripada foto dalam komputernya. Dia ditemani isterinya.

Peguamnya, Emmanuel Marsigny, memberitahu AFP bahawa wujud hasrat untuk menghukum Tariq tidak kira apa saja yang berlaku atau apa bukti yang dikemukakan dan menyifatkan kes itu semakin menakutkan .

Dua wanita yang dikaitkan dalam kes terbaru itu secara peribadi tidak membuat aduan tetapi mengakui terbabit dalam hubungan seks ganas dengan Ramadan, seorang antara November hingga Disember 2015 dan seorang lagi pada Mac 2016.

Salah seorang wanita terbabit berkata apa yang berlaku kepadanya sebagai jauh teruk daripada rogol secara fizikal, malah menyifatkannya sebagai ‘rogol moral’.

“Dia mempunyai cengkaman sebegitu kuat sehingga anda akan buat apa saja yang dia minta tetapi hubungan ini berlaku dengan kerelaan dua-dua pihak,” katanya dalam perakuan yang dilihat AFP.

Seorang lagi mangsa berkata dia meminta Ramadan bersikap lembut tetapi dia berkata ‘itu kesalahan awak dan awak patut menerimanya’.

“Dia berkata saya perlu mematuhi kehendaknya dan saya melakukan apa yang dia minta,” katanya.

Tariq yang sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak adalah cucu kepada pengasas gerakan Ikhwanul Muslim Mesir.

Beliau bertugas sebagai profesor di Universiti Oxford sehingga dipaksa bercuti susulan tuduhan merogol ketika gerakan hebat ‘Me Too’ pada 2017.

Dia ditahan pada Februari 2018 and dipenjara lebih sembilan bulan sebelum dibenar ikat jamin bagi tuduhan merogol dua wanita di Perancis masing-masing pada 2009 dan 2012.

Pihak berkuasa Switzerland juga sedang menyiasat Ramadan selepas menerima laporan kes rogol di negara itu, bagaimanapun dia berkeras bahawa semua hubungan itu dijalin dengan kerelaan kedua-dua pihak.

Pendakwaan di Perancis tidak bermakna suspek akan dibicarakan kerana kes itu masih boleh dibuang kerana kekurangan bukti.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X