Jumaat, 14 Februari 2020 | 5:52pm

KLM mohon maaf isu papan tanda coronavirus 

SEOUL: KLM, syarikat penerbangan Belanda di bawah Air France KLM, memohon maaf hari ini selepas seorang kakitangannya mencetuskan kemarahan warga maya apabila memuat naik papan tanda dalam bahasa Korea, mengatakan penumpang tidak dibenarkan menggunakan tandas kerana coronavirus baharu.

Papan tanda ditulis tangan mengatakan ‘tandas untuk anak kapal sahaja’ tular di Korea Selatan minggu ini, selepas seorang penumpang penerbangan 10 jam dari Amsterdam ke lapangan terbang Incheon di Seoul memuat naik gambar itu, Isnin lalu.

Penumpang itu menuduh KLM mendiskriminasi penumpang warga Korea Selatan kerana papan tanda itu hanya ditulis dalam bahasa Korea. 

“KLM... Hari ini kamu secara jelas mendiskriminasi kaum. Menggunakan coronavirus sebagai alasan. Kamu perlu mohon maaf kepada rakan saya dan Korea,” tulis seorang pengguna Twitter dalam bahasa Inggeris dan Korea mengenai insiden itu, yang mendapat ribuan retweet dan tanda suka.

Selain itu, tanda pagar BoycottKLM juga menjadi popular di Twitter Korea.

Hari ini, eksekutif KLM memohon maaf secara terbuka pada sidang media di Seoul, menjelaskan mereka memandang serius dakwaan diskriminasi itu dan berjanji akan memastikan ia tidak berulang.

“Ini adalah satu kesilapan, dan kami tidak mengambil mudah perkara ini. Kami mohon maaf kerana ia dilihat sebagai diskriminasi, yang bukan niat asal anak kapal itu,” kata Pengurus Besar Rantau Air France-KLM.

Anak kapal itu memaklumkan, penggunaan bahasa Korea bukan disengajakan. Notis berbahasa Inggeris diberikan selepas aduan daripada penumpang, kata Glass. 

Jelasnya lagi, tiada sebarang peraturan dan dasar KLM untuk mengkhaskan tandas untuk anak kapal. - REUTERS

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X