Selasa, 25 Februari 2020 | 6:07pm
Ryan (kiri), Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres (tengah) dan Tedros (kanan) menghadiri taklimat COVID-19 di ibu pejabat WHO di Geneva. - Foto AFP
Ryan (kiri), Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres (tengah) dan Tedros (kanan) menghadiri taklimat COVID-19 di ibu pejabat WHO di Geneva. - Foto AFP

COVID-19 berpotensi jadi pandemik - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran COVID-19 masih mampu menjadi pandemik selepas kes virus itu memuncak di China, berikutan ia sudah merebak dan bertapak di negara lain.

Pasaran kewangan menjadi tumpuan selepas berita kematian dan wabak itu di Asia Barat, Eropah dan Asia, walaupun negara asal virus iaitu China kelihatan tenang.

Keadaan semakin teruk di negara lain, dengan lebih 2,000 kes dan kira-kira 30 kematian dilaporkan, menyebabkan sekatan perjalanan diisytihar terhadap pelancong dari negara yang dijangkiti.

Korea Selatan, Itali dan Iran mengalami peningkatan ketara jangkitan dan kematian, sementara beberapa negara di Asia Barat melaporkan kes pertama COVID-19.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, bagaimanapun menegaskan, virus itu masih boleh dibendung, selain memuji langkah kuarantin drastik oleh China di beberapa bandar untuk mencegah penyebaran yang lebih meluas.

"Buat masa ini, kita tidak menyaksikan penyebaran virus yang tidak terkawal dan kematian besar-besaran," katanya kepada wartawan di Geneva Isnin lalu.

Bagaimanapun, tambah beliau, semua negara perlu melakukan segala yang boleh untuk bersedia menghadapi potensi virus itu menjadi pandemik.

Istilah pandemik diguna bagi penularan wabak yang sudah merentasi pelbagai negara dan menjangkiti kluster kumpulan masyarakat.

Korea Selatan melaporkan kes tertinggi COVID-19 di luar China dengan lapan kematian dan lebih 900 mangsa dijangkiti.

Negara itu mengumumkan amaran tahap ‘merah’ dalam usaha membendung penularan dengan cuti sekolah dilanjutkan dan 2.5 juta penduduk Daegu, kawasan paling teruk terjejas, dinasihatkan jangan keluar rumah.

Itali melaporkan tujuh kematian dan lebih 200 kes jangkitan, sekali gus mendorong perintah berkurung di 11 pekan manakala perlawanan bola sepak Serie A dan Europa League akan dimainkan dalam stadium tertutup.

Malah, penggambaran filem terbaru, ‘Mission: Impossible’ dibintangi Tom Cruise, yang dijadual bermula Venice, dibatalkan.

Jangkitan virus itu turut merebak ke Asia Barat dengan Afghanistan, Bahrain, Iraq, Kuwait dan Oman melaporkan kes pertama Isnin lalu.

Sekurang-kurangnya 12 mangsa COVID-19 dilaporkan maut di Iran setakat ini, kadar kematian tertinggi di luar China.

Ketua Program Kecemasan Kesihatan WHO, Michael Ryan, berkata pasukan badan dunia itu akan ke Iran dalam masa terdekat bagi menilai keadaan semasa dan beberapa negara sudah bertindak melarang kemasukan pengunjung dari Iran. - AFP

Berita Harian X