Rabu, 26 Februari 2020 | 9:07am
Anggota polis forensik membuat pemeriksaan di Volkmarsen, Jerman. - Foto Reuters
Anggota polis forensik membuat pemeriksaan di Volkmarsen, Jerman. - Foto Reuters
Polis berkata jumlah mangsa tercedera kini mencecah 60. - Foto AFP
Polis berkata jumlah mangsa tercedera kini mencecah 60. - Foto AFP
Pemandu Jerman berusia 29 tahun itu tidak berada dalam keadaan mabuk, namun siasatan masih berjalan. - Foto AFP
Pemandu Jerman berusia 29 tahun itu tidak berada dalam keadaan mabuk, namun siasatan masih berjalan. - Foto AFP

Pihak berkuasa siasat motif pemandu rempuh perarakan karnival

VOLKMARSEN (JERMAN) : Pihak berkuasa Jerman sedang mengenal pasti motif yang mendorong seorang lelaki merempuh sebuah karnival, sehingga mencederakan puluhan pengunjung, selepas tragedi tembakan rambang menggegarkan negara itu minggu lalu.

Dalam satu kenyataan tengah hari semalam, polis berkata jumlah mangsa tercedera kini mencecah 60 dan meminta orang ramai yang memiliki bukti untuk tampil ke depan bagi membantu siasatan.

Seramai 20 daripada mangsa terdiri daripada kanak-kanak dengan yang termuda berusia dua tahun, manakala individu tertua ialah seorang warga emas, dalam lingkungan 85 tahun.

Menurut penyiasat, pemandu Jerman berusia 29 tahun itu tidak berada dalam keadaan mabuk, namun siasatan masih berjalan untuk melihat jika suspek sedang khayal akibat pengaruh dadah.

Jurucakap polis memberitahu, suspek masih belum disoal siasat kerana masih berada dalam rawatan, susulan kejadian di pekan Hessian, Volkmarsen itu.

Insiden terbabit berlaku beberapa hari selepas seorang penyerang bersenjata dengan motif berunsur perkauman melepaskan tembakan rambang di dua bar shisha, menyebabkan sembilan mangsa yang memiliki latar belakang pendatang terbunuh di pekan Hanau.

Kejadian itu mendorong kerajaan membatalkan semua perarakan karnival di seluruh negara pada Isnin, manakala satu lagi acara sama khusus untuk kanak-kanak di Wiesbaden turut dikenakan tindakan sama.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak merumuskan kejadian berkenaan sebagai satu serangan, selagi motif sebenar masih belum diketahui. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X