Rabu, 4 March 2020 | 10:25am
PESAWAT MH17 yang terhempas di timur Ukraine.
PESAWAT MH17 yang terhempas di timur Ukraine.

Jangan hadir perbicaraan MH17 jika ada gejala COVID-19

AMSTERDAM: Individu yang didapati mempunyai gejala coronavirus (COVID-19) dan rekod perjalanan ke kawasan dijangkiti wabak berkenaan tidak sepatutnya hadir mengikuti perbicaraan kes MH17, mulai minggu depan di Belanda.

Mahkamah Belanda menjelaskan perbicaraan kes pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang ditembak jatuh di timur Ukraine itu akan tetap berlangsung mengikut jadual, iaitu pada 9 Mac ini.

“Badan kehakiman Belanda sudah mengambil langkah sewajarnya untuk menangani penularan coronavirus, namun individu yang mempunyai rekod perjalanan ke kawasan dijangkiti wabak terbabit dan menunjukkan gejala seperti selsema atau demam harus kekal berada di kediaman masing-masing,” katanya.

Proses perbicaraan pesawat MH17 yang ditembak jatuh sehingga mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal, pada 17 Julai 2014 lalu bakal menyaksikan pertuduhan tanpa kehadiran empat suspek utama, masing-masing membabitkan tiga rakyat Russia dan seorang Ukraine.

Institut Kesihatan Awam Kebangsaan Belanda (RIVM) semalam dilaporkan berkata enam individu lagi disahkan positif jangkitan COVID-19, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang diserang wabak berkenaan di Belanda adalah seramai 24 orang.

Ratusan ahli keluarga mangsa dan wartawan sebelum ini mendaftar untuk menghadiri sebutan kes perbicaraan MH17 yang dijadualkan berlangsung di bilik sidang mahkamah khas dan dikawal ketat, berdekatan Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam.

Kes perbicaraan itu dikatakan bakal disiarkan secara langsung menerusi pautan dalam talian.

Berita Harian X