Rabu, 4 March 2020 | 11:54pm
Gambar fail, pesawat syarikat penerbangan Lufthansa Jerman di Lapangan Terbang di Duesseldorf, Jerman Barat. - AFP
Gambar fail, pesawat syarikat penerbangan Lufthansa Jerman di Lapangan Terbang di Duesseldorf, Jerman Barat. - AFP

Lufthansa 'rehatkan' 150 pesawat

FRANKFURT AM MAIN: Syarikat penerbangan gergasi Jerman, Lufthansa, hari ini membatalkan penerbangan 150 daripada 750 pesawatnya di seluruh dunia selepas sehari pengumuman pengecilan operasi ekoran COVID-19.

“Sebanyak 25 pesawat bagi perjalanan jarak jauh dan 125 pesawat penerbangan dekat serta sederhana tidak akan beroperasi," kata seorang jurucakap bagi kumpulan membabitkan Eurowings, Austrian dan Swiss.

Saham Lufthansa beberapa hari ini mencatat penurunan susulan penularan COVID-19 yang menjejaskan sektor penerbangan.

Saham dijangka meningkat sedikit selepas pasaran di Frankurt dibuka tengah hari, iaitu peningkatan 0.6 peratus pada paras dagangan 11.98 euro (RM61.76) selepas jam 3.30 petang dengan sedikit di bawah jangkaan prestasi Indeks DAX.

Ia kekal pada kadar bawah kira-kira 27 peratus, berbanding permulaan 2020.

Isnin lalu, Lufthansa menjelaskan akan mengurangkan 25 peratus penerbangannya, terutamanya bagi perjalanan jarak dekat dan sederhana termasuk ke destinasi terjejas COVID-19 di Itali dan Jerman.

Kumpulan itu juga menggantung perjalanan ke negara lain yang muncul sebagai titik panas penularan COVID-19, termasuk China dan Iran, hingga hujung April depan.

Lufthansa turut menggantung perjalanan baharu sebagai sebahagian kaedah mengurangkan kerugian susulan impak COVID-19 membabitkan jumlah yang masih belum dianggarkan.

Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa menganggarkan penurunan antara $4 hingga $5 bilion bagi pendapatan penerbangan global ekoran penularan COVID-19 - AFP

Berita Harian X