Rabu, 11 March 2020 | 1:15pm

Kematian akibat COVID-19 di Itali meningkat

ROM: Itali mencatatkan hari yang paling dahsyat dalam krisis COVID-19 walaupun mengkuarantin seluruh negara, ketika New York menggunakan Pengawal Kebangsaan untuk membendung penyakit yang telah mencetuskan panik di seluruh dunia.

Negara yang paling teruk dilanda wabak itu di Eropah berkata, jumlah kematiannya akibat COVID-19 telah meningkat sebanyak satu pertiga kepada 631 semalam, dengan wabak yang semakin meningkat itu memberi kesan terhadap acara sukan, budaya dan politik global.

Walaupun pihak berkuasa di China, di mana wabak itu bermula, telah mengisytiharkan ia ‘pada dasarnya dibendung’, kes-kes berganda di seluruh dunia, mencetuskan pembelian panik di kedai-kedai, dan perubahan liar di pasaran kewangan.

China kekal paling teruk terjejas secara keseluruhan dengan lebih daripada 80,000 kes dan lebih 3,000 kematian, daripada jumlah keseluruhan 117,339 kes dan 4,251 kematian di 107 negara dan wilayah, menurut AFP.

Virus itu menjangkiti semua lapisan masyarakat, termasuk ahli politik, dengan calon presiden Demokrat Amerika Syarikat (AS), Bernie Sanders dan Joe Biden, kedua-duanya membatalkan perhimpunan kempen dan Menteri Kesihatan Britain, Nadine Dorries, berkata beliau telah diuji positif.

Di tengah-tengah kritikan terhadap reaksi pihak berkuasa AS, New York mengerahkan Pengawal Kebangsaan buat kali pertama semasa krisis untuk membantu membendung merebaknya penyebaran penyakit itu dari sebuah kawasan pinggiran bandar yang terkena jangkitan.

Terdapat 173 kes disahkan di New York, termasuk 108 di Westchester County, tuan rumah kepada New Rochelle di mana majoriti jangkitan telah dikesan.

"Ini adalah tindakan yang dramatik, tetapi ia adalah kluster terbesar di negara ini. Ini secara asasnya adalah perkara mengenai kehidupan dan kematian," kata gabenor negeri, Andrew Cuomo.

"Orang ramai takut, ia adalah satu keadaan yang luar biasa," kata Miles Goldberg, yang mengendalikan bar New Rochelle, memberitahu AFP.

"Ia membuatkan orang ramai gementar berada di sekeliling orang lain, ia membuatkan orang ramai bimbang untuk memasuki premis perniagaan dan sebagainya," katanya. - AFP

Berita Harian X