Sabtu, 21 March 2020 | 1:38pm
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. - FOTO REUTERS
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. - FOTO REUTERS

Wabak COVID-19 semakin tragis - WHO

GENEVA: Sebanyak 17,506 kes baharu COVID-19 dilaporkan di Eropah dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan serantau mencecah 104,591, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam.

Seramai 4,899 pesakit di Eropah meninggal dunia, setakat jam 11:59 malam kelmarin, meningkat 816 berbanding hari sebelumnya, lapor agensi berita Xinhua.

Negara Eropah paling terjejas membabitkan Itali, Sepanyol, Jerman dan Perancis, semuanya mencatatkan lebih 10,000 kes - merekodkan jumlah lebih 80,000 jangkitan, termasuk 4,566 kematian.

Di luar China, wabak itu telah mengorbankan lebih 6,500 orang, manakala jumlah kes kumulatif kini melebihi 150,000.

Menurut WHO lagi, lebih 230,000 kes dilaporkan di seluruh dunia, termasuk lebih 9,000 kematian.

Selain itu, enam negara dan wilayah melaporkan kes pertama, manakala 96 negara dan wilayah menyaksikan jangkitan antara komuniti.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata wabak COVID-19 mencatatkan peningkatan setiap hari dan semakin tragis.

“Setiap kehilangan nyawa adalah tragedi,” katanya sambil menyeru semua pihak terus menggiatkan usaha dan melakukan segala yang terdaya bagi menamatkan rantaian jangkitan COVID-19 demi menyelamatkan nyawa. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X